AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menolak tanggapan bahawa Barisan Nasional (BN) berdepan krisis dalaman menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya menyifatkan dakwaan penolakan calon parti itu di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai hasil cetusan musuh politik.

Beliau berkata, jika dakwaan itu datang daripada pihak lawan politik, memang sudah menjadi lumah ia digembar-gemburkan untuk memberikan gambaran negatif terhadap BN dan UMNO.

Empat kerusi disebut

Sebelum ini, BN sudah mengumumkan senarai calonnya bagi kesemua 28 kerusi DUN Melaka, dengan gabungan wajah baharu dan tokoh berpengalaman bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri. Pengumuman awal itu turut disifatkan pimpinan parti sebagai strategi memberi ruang kepada calon untuk turun padang lebih lama berbanding pihak lawan.

Dakwaan yang tular sejak beberapa hari lalu menyebut berlaku penolakan terhadap calon BN di empat kerusi iaitu Kuala Linggi, Pantai Kundor, Kelebang dan Ayer Molek. Ia timbul susulan pengumuman jajaran calon yang dikatakan tidak disenangi segelintir akar umbi.

Bagaimanapun, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka menegaskan perkara itu tidak mencerminkan keadaan sebenar jentera parti di peringkat negeri.

"Kalau datang pada sudut musuh politik, pastinya ia akan memberikan satu pandangan yang negatif. Apa yang penting, dengan semangat 'winning spirit' yang kita miliki, kita akan selesaikan segala permasalahan ini," katanya kepada pemberita.

Kuala Linggi jadi tumpuan

Antara yang menjadi tumpuan ialah kerusi Kuala Linggi yang disandang BN sejak PRN 2021. Pada pilihan raya lepas, Rosli Abdullah memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,836 undi, sekali gus mengembalikan keyakinan jentera BN di kawasan berkenaan.

Keputusan pencalonan kali ini tetap berada di bawah kuasa pucuk pimpinan parti dan sebarang desas-desus yang bercanggah dengan keputusan rasmi tidak seharusnya dijadikan ukuran kekuatan atau kelemahan BN.

Perang Persepsi Bermula

Dalam mana-mana pilihan raya, isu penolakan calon bukan perkara baharu. Ia kerap diperbesar-besarkan pembangkang menjelang hari mengundi bagi menggugat semangat jentera dan mengelirukan pengundi. Respon Ab Rauf kali ini kelihatan berhati-hati tetapi tegas: tidak menafikan wujudnya perbincangan dalaman, namun menolak mentah-mentah dakwaan wujud krisis.

Buat BN, kekuatan sebenar terletak pada jentera akar umbi yang teruji. Pengalaman PRN Melaka 2021 membuktikan parti ini mampu bangkit walaupun pelbagai ramalan negatif dilemparkan, apabila berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti selesa. Perkara yang sama sedang diulangi kali ini, dengan pengumuman calon dibuat lebih awal bagi memberi masa jentera bergerak.

Pengundi Melaka akan membuat keputusan pada 14 November ini. Apa yang pasti, dakwaan dalaman seperti ini akan terus dimainkan sehingga hari mengundi, dan adalah lebih bijak untuk menilai parti berdasarkan rekod pentadbiran serta kesungguhan calon berkhidmat, bukan desas-desus yang sukar disahkan.